Friday, September 19, 2008

Aku terus memerhati dan berfikir

Aku memberi salam selepas solat jumaat.
Kemudian aku membetulkan duduk untuk sesi mengaminkan doa.
Ramai orang terus keluar dari masjid selesai Tok Imam memberi salam.
Dalam keramaian itu aku ternampak seorang budak bangkit dari tempat duduknya.
Aku agak mungkin budak sekolah rendah; belum sampai belasan tahun rasanya.

Dia menghampiri kotak bertulis DERMA dan berhenti seketika.
Poket baju melayunya diseluk dan dia mengeluarkan sesuatu.
Aku dapat lihat dengan jelas sekeping not bewarna merah. Ya, RM10.
Dia membelek2 duit kertas yang sekeping itu.
Dimukanya jelas terpampar senyuman tatkala ia memegang wang kertas itu.
Lalu disuakan wang kertas itu kemukanya.
---Aku terus memerhati dan berfikir---
Dan selepas itu cepat2 dia melipat wang kertas itu dan menghulurkan ke dalam kotak derma.
Kemudian dia menolak-nolak duit tersebut agar ia jatuh ke dalam kotak dan tidak terlekat di lubang tempat memasukkan wang derma.
Tidak cukup dengan itu, dia meniup2 melalui lubang itu.
Seketika kemudian, mungkin dia sudah yakin bahawa duit tersebut sampai ke destinasi; dia senyum seorang diri dan berlalu pergi.

Aku terus memikirkannya
"Apa yang difikirkan oleh budak tersebut sepanjang perenggan di atas? Kenapa dia senyum sendiri?" Aku tertanya dalam hati. Sampai terlupa menadah tangan semasa Tok Imam berdoa.

Semasa aku masih budak, RM10 jarang dipegang, apatah lagi disumbat ke dalam peti DERMA.
Sekarang pun dah lama rasanya tak keluar duit berbuat kebajikan. Mungkin budak tu "tahu" sesuatu yang aku tak tahu...

No comments: